The fastest way to master in photography composition.
October 27, 2007
Saya banyak menonton pelbagai tayangan filem dan sememangnya sedikit sebanyak jalan cerita tayangan filem yang kita tonton akan mempengaruhi diri kita. Jadi, setiap kali saya menonton, saya akan berfikir banyak perkara seperti kesan jalan cerita terhadap individu yang menonton, apa yang saya pelajari daripada tayangan filem tersebut dan sebagainya. Sebagai seorang jurugambar, saya sentiasa berfikir untuk memajukan diri saya sendiri untuk menjadikan saya seorang yang terbaik pada suatu hari nanti. Saya menggunakan media tayangan filem sebagai panduan untuk mempelajari teknik fotografi dengan lebih berkesan daripada mengharapkan bantuan orang lain untuk mengajar kita. Inisiatif dari diri sendiri amat penting untuk memajukan diri sendiri. Sekiranya kita ingin berubah, berubah dengan usaha diri sendiri bukan dengan mengharapkan bantuan orang lain. Setakat ini terdapat dua tayangan filem yang menjadi inspirasi saya untuk maju di dalam dunia fotografi. Ren Ai Sha Shin dan Tada Kimi Wo Aishiteru merupakan tayangan filem yang mengisahkan dunia fotografi. Walaupun mempunyai unsur-unsur cinta tetapi saya melihat dari sudut lain iaitu kaedah penghasilan filem tersebut. Komposisi yang digunakan di dalam tayangan filem tersebut memang menjadi panduan saya dalam dunia fotografi. Komposisi di dalam tayangan filem Ren Ai Sha Shin memang begitu menarik sekali pada keseluruhan jalan ceritanya. Ini membuatkan saya begitu taksub dengan penghasilan komposisi di dalam tayangan filem tersebut. Ini merupakan sumber panduan saya untuk memahirkan teknik komposisi saya di dalam dunia fotografi. Secara jujurnya, kelemahan terbesar saya dalam fotografi ialah komposisi. Bagi saya walaupun hebat macam mana sekalipun teknik fotografi yang kita ada sekiranya komposisi masih gagal untuk diaplikasikan, sebuah foto yang dihasilkan tidak akan dapat menarik perhatian orang lain. Biarpun subjek itu cuma sebiji buah yang berada di atas meja, jika sebuah komposisi itu berjaya dihasilkan, sebuah foto yang hebat akan terhasil. Komposisi adalah asas dalam fotografi. Tanpa asas, menyukarkan saya untuk maju ke hadapan dengan begitu cepat. Jadi, sekarang saya hanya fokus pada teknik komposisi sahaja. Saya perlu menguasai teknik komposisi dengan sempurna untuk menghasilkan sebuah gambar yang dapat menarik perhatian orang lain.



